Karya kreatif Ahmad Kamal Abdullah

Persoalan yang sering diungkapkan dalam puisi-puisi beliau ialah tentang rakyat bawahan seperti petani, nelayan dan kaum buruh.Pada tahun 1970-an kisah yang sering dikemukakan Kemala ialah tentang renungan terhadap kehidupan yang condong kepada aspek-aspek kerohanian[1]. Kumpulan puisi Meditasi telah terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1972, di samping sebuah puisi beliau yang lain berjudul Laut. Puisi Kemala berjudul Maknawi Itu, Kasihku telah terpilih pula memenangi Hadiah Karya Sastera 1975. Kemudian sekali lagi dua buah puisi beliau terpilih pada tahun 1976, masing-masing berjudul “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” dan “Bahawa Cinta itu Kasihku”. Tiga buah puisinya daripada kumpulan ‘Ayn iaitu “Lelabah, Laut”, dan “Cakerawala”, sebuah cerpen “Peti” dan esei Persoalan Penyair dan Kepenyairannya, telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/83. Puisi Kemala turut tersiar dalam penerbitan antarabangsa seperti Horison (Indonesia), Hemisphere (Australia), Asiaweek (Hong Kong), dan Journal Pacific (New Zealand).

Sajak-sajak Kemala penuh dengan musik dan irama mendalam. Dia dengan mahir menggunakan segala kebolehan bahasa Melayu dengan mengorak dari bahasa itu kadang-kadang bunyi lembut, kadang-kadang bunyi ekspresif dan meletup. Dia memenuhi setiap barisan puisinya dengan gerakan dan menjadikan setiap sajak sebagai organisma hidupan. Perpaduan perasaan dan cita-cita tinggi yang diresapi dengan cinta yang tak terhingga kepada Tuhan inilah merupakan punca yang tak henti-hentinya daripada ilham kreatif Kemala[2]. Puisinya ialah peleburan bayangan bersuara dan muzik, avangardisme dan motif-motif sufi tradisional serta juga bentuk irama puisi rakyat[3].

Dalam bidang drama pula, di samping telah berjaya menerbitkan buku drama berjudul Di Bumi Lain, drama Kemala Malam Perhitungan telah merebut hadiah terbaik dalam satu peraduan yang dianjurkan oleh Majlis Drama Malaysia pada tahun 1971. Drama yang terbaru ialah Pending Numera (2011).

Buku oleh Anna Pogadaeva tentang Intertekstualiti Puisi Kemala

Setakat ini Kemala sudah menerbitkan 9 kumpulan puisi, iaitu Timbang Terima (1970), Meditasi (1972), Era (1975), Kaktus-Kaktus (1976)[4]., ‘Ayn (1983, 1989)[5], Pelabuhan Putih (1989), Titir Zikir (1995), Mim (1999)[6] dan Ziarah Tanah Kudup (2006).